Kata Khalifah Alwalid bin Abdul Malik: Sesungguhnya rakyat akan binasa dengan binasanya wali (pemerintah) dan mereka akan baik dengan baiknya wali. Wahab bin Mambah pula berkata: Apabila seorang wali bercita-cita dengan kezaliman atau mengerjakan sesuatu yang zalaim, Allah akan memasukkan kekurangan pada ahli wilayah pemeritahannya, pada pekan, tanaman, uncang susu kambingnya dan lain-lain. Apabila dia bercita-cita dengan kebajikkan dan keadilan atau gemarkannya diberikan keberkatan kepada semua rakyat dalam wilayah pemerintahannya.

Kata setengah ahli sejarah: Seorang raja telah keluar berjalan dalam negeri pemeritahannya dengan cara sulit, lalu beliau menemui seorang lelaki yang memiliki seekor lembu yang kalau diperah susunya menyamai tiga puluh lembu lain. Raja merasa hairan dengan keadaan lembu itu dan bercita-cita untuk mengambilnya. Pagi besoknya dia datang lagi untuk melihat keadaan lembu itu, tetapi waktu diperah susunya hanya mendapat hasil separuh sahaja tidak seperti sebelumnya. Lalu Raja berkata kepada kepada lelaki yang tuan punya lembu itu: Adakah kamu tidak memelihara lembu ini dengan sebaiknya? Jawabnya: Tidak! Tetapi aku mengagak bahawa raja kami telah bercita-cita dengan kezaliman sehingga hilanglah berkatnya. Selepas itu raja pun bertaubat dan hatinya berjanji pada tuhan yang dia tidak akan mengambilnya, kemudian dia pergi pula keesokkannya pagi-pagi lagi, didapati hasil perahan susu lembu itu kembali banyak seperti biasa.

Satu lagi kisah dari bumi Maghrib, Kononya seorang Sultan mendengar berita tentang seorang perempuan yang memiliki kebun yang didalamnya ada tebu yang sangat manis,dimana setiap batang tebu itu mandapat air perahan satu mangkuk. Sultan itu bercita-cita mengambilnya lalu datang menemui perempuan itu dan bertanya mengenainya. Perempuan itu menjawab: bahkan (benar), lalu diperah satu batang tetapi airnya tidak sampai separuh dari sebatang yang terdahulu. Lalu Sultan bertanya lepada perempuan itu: Dimanakah yang dikatakan orang sekian banyak itu? Jawab perempuan itu: Benar sebagamana cerita yang sampai kepada engkau, tetapi oleh kerana Sultan bercita-cita untuk mengambilnya maka terangkatlah berkat daripadanya. Lalu Sultan pun bertaubat pada ketika itu juga dan berjanji dengan Tuhan bahawa beliau tidak akan mengambilnya buat selama-lamanya dengan niat yang ikhlas. Kemudian dia menyuruh untuk diperahkan semula satu batang, maka didapati air perahannya memenuhi satu mangkuk seperti kebiasaannya.