Saya diamanahkan untuk merasmikan majlis tamat belajar (perlimau gelanggang) bagi perguruan seni silat tongkat, diadakan dikampung Bechah Mulong, Peringat (Desa Taqwa). Seramai tiga puluh orang murid yang telah tamat belajar dibawah pimpinan seorang guru yang dikenali oleh murid-muridnya Abg Din. Majlis dimulakan pada pukul dua setengah petang dalam suasana yang cukup meriah. Pulut kuning bunga telur dihias rapi, gendang dang serunai memecah sunyi menegakkan bulu roma orang-orang yang ada angin silat. Orang kampung tua muda, kecil besar datang memenuhi kawasan gelanggan silat untuk sama-sama menyaksikan pertunjukkan pada petang itu. Majlis dimulakan dengan dipengerusikan oleh ust Rosli Abd Samat.
Teringat saya waktu kecil-kecil dulu, selepas sahaja menuai padi, gelangang-gelangang silat dibuka dikampung, kalau tidak pun gelangang boksing, anak-anak muda ramai yang datang belajar. Sebab itulah orang-orang dulu jarang yang tidak pandai bersilat, kalau tidak bersilat pun pandai boksing. Mereka gemar belajar, mungkin kerana tidak ada kerja yang nak dibuat, atau mungkin kerana hiburannya tak banyak seperti sekarang, tapi yang pasti mereka rajin menimba ilmu, lepas seperguruan seperguruan pula, lepas segelangang segelangang pula. Lepas mereka belajar silat jatuh, belajar silat tongkat pula, pendeknya mereka rajin.
Kita tengok dulu jarang berlaku gejala sosial yang pelik-pelik seperti hari ini, kalau ada pun tak sama macam sekarang, yang menjadi ancaman dalam negara, yang mengusarkan hati semua orang. Apa tidaknya, kes bunuh, rogol, zina, subang muhram, bahkan seribu satu macam gejala yang terkadang letih untuk disebut berlaku setiap hari. Orang dulu belajar silat bukan semata-mata silat, mereka diasuh menghormati guru, bukan sahaja guru silat mereka, guru orang lain pun mereka hormat, menghormati ibubapa lebih lagi, mereka ada disiplin dan pantang larang. Boleh jadi budaya inilah yang mereka bawa dalam masyarakat. Mereka tak mudah bergaduh walau pun pandai bersilat, kadang-kadang makin pandai bersilat makin merendah diri, macam resmi padi makin berisi makin tunduk, tidak seperti ayam, bertelur sebiji riuh sekampung. Aku dulupun adalah belajar silat gayung sikit, ada falsafah yang diajar (Selagi air mata tidak mengalir, selagi darah tidak menitis jangan pukul orang sekali-kali). Ini sesuai dengan ajaran Islam kalau diamalkan.
Yang pelik bin ajaibnya kenapa budak-budak hari ini jarang yang berminat kearah itu, tidak seperti anak-anak murid Abg Din. Mereka lebih suka merempit yang sudah pasti mengundang geruh, ada yang suka telan kuda sehingga hidup tak keharuan bahkan macam-macam lagi. Shabas dan tahniah kepada Abg Din yang berjaya mendidik anak bangsanya sendiri, ilmu dan usaha yang baik itu pasti akan direstui Allah.
Anak langsat dibuat tongkat
Keris lembing senjata melayu
Usaha Abg Din membawa berkat
Menyuburkan seni yang kian layu